Tuesday, November 15, 2005

WEB REALITI: MEMPROMOSI PEMBELAJARAN

WEB REALITI: MEMPROMOSI PEMBELAJARAN
DALAM KOMUNITI ONLINE GENG JURNAL

oleh
Ghazali Bunari
m-zali@utm.my

Abstrak
Geng Jurnal adalah sebuah komuniti online yang dibangunkan untuk penulis weblog Malaysia. Penulis weblog adalah penulis catatan jurnal yang menerbitkan jurnal mereka di web. Kertas ini menerangkan tentang program Juring, sebuah projek pembelajaran dengan konsep web realiti yang dianjurkan oleh komuniti online Geng Jurnal. Juring bertujuan memupuk kefahaman komuniti penulis weblog terhadap teknik penulisan weblog yang berkesan. Dalam projek ini, 10 peserta bersaing menyempurnakan tugasan-tugasan yang diberi oleh ketua juri, Wasit. Satu demi satu, peserta dijuring keluar, mengambil istilah persilatan membawa maksud tendangan sisi, oleh panel juri sehinggalah seorang penulis diisytiharkan sebagai Juara Juring. Melalui kaedah pemerhatian dalam kumpulan perbincangan elektronik, analisa arkib entri peserta dan pembaca, penulis memberi deskripsi tentang projek web realiti sebagai alat mempromosi pembelajaran dalam komuniti online.

PENGENALAN

Laman peribadi yang dikemaskini kandungannya secara berkala telah mula wujud seawal tahun terciptanya laman web itu sendiri. Namun begitu, laman yang melabel dirinya sebagai weblog muncul pada 1997 (Werbach, 2001). Perkataan weblog itu sendiri digunakan buat pertama kali oleh John Barger, pemilik kepada www.robotwisdom.com, dengan mengambungkan perkataan Web dan log pada 1997. “Web” merujuk kepada Internet dan perkataan “log” pula merujuk kepada catatan penulis yang berkala. Weblog juga dikenali dengan nama pendeknya blog, jurnal online dan diari online.

Pada peringkat awal weblog hanya dikuasai oleh mereka yang mempunyai kepakaran teknikal dalam bahasa pengaturcaraan seperti HTML (Hypertext Markup Language), ASP (Active Server Page) dan PHP (Personal Home Page Tools). Pada tahun 1999 Blogger (http://www.blogger.com) dan Livejournal (http://www.livejournal.com), memperkenalkan applikasi Web yang memudahkan penyelengaraan weblog bagi mereka yang tidak mahir dalam pengaturcaraan . Perisian weblog ini telah berjaya mengotakan janji bahawa Web membenarkan semua orang bersuara, satu usaha pendemokrasian persuratan.

The Guardian (2001) menamakan Blogger sebagai salah satu dari tujuh keajaiban Web sepentas dengan Yahoo dan Google. 2001 juga menyaksikan media cetak Malaysia mula memberi perhatian kepada weblog. Zoraini Abbas menulis dalam Computimes bahawa penulis-penulis yang menggunakan pelantar weblog ini adalah kreatif (2001). Wan Sabariah (2002) juga menulis tentang portal Geng Jurnal dalam majalah Jelita dan mencatat beberapa contoh weblog yang dikatakan sebagai penuh dengan kreativiti. Malah, salah satu penyedia khidmat Internet terbesar di Malaysia juga turut memeriahkan suasana menyediakan khidmat weblog percuma di www.jaring.my/weblog/. Pada 2004, kamus Merriam-webster memasukkan istilah weblog ke dalam kamus itu dan ianya dianggap sebagai Word of the Year, 2004.

Blog noun [short for Weblog] (1999) : a Web site that contains an online personal journal with reflections, comments, and often hyperlinks provided by the writer. (Merriam-Webster)

Kandungan weblog adalah pelbagai. Ia boleh berupa catatan harian seperti diari, laporan projek, komentar tentang isu-isu sosiopolitik, dan cadangan link untuk dilawat atau gambar-gambar yang ingin dikongsi bersama. (Werbach, 2000; Pyra Labs, 2000)

Debat mengenai definisi sebenar weblog mungkin akan berterusan selari dengan perubahan ICT yang begitu pesat. Namun begitu, definisi yang disediakan oleh Winer (2001), CEO kepada sebuah syarikat pengeluar perisian weblog, amat sesuai untuk mengambarkan apakah weblog itu sebenarnya. Beliau mencadangkankan 4 kata kunci:

1. Peribadi - Weblog adalah milik peribadi.
2. Dalam Web - Weblog disebarkan melalui Web browser .
3. Diterbitkan - Kata-kata ditulis dan diposkan ke dalam web untuk bacaan mereka yang mempunyai akses kepada Internet.
4. Komuniti Internet - Himpunan-himpunan weblog yang saling berkait antara satu sama lain melalui rantaian hyperlinks juga mewujudkan satu komuniti. Komuniti weblog yang terwujud hasil dari interaksi antara satu penulis dengan penulis yang lain ini dinamakan Blogsphere.

Di Malaysia juga terdapat ramai penulis weblog. Ada di antara mereka mempunyai pembaca yang ramai kerana mutu tulisan mereka yang baik. Ada kes-kes terpencil di mana mereka merungut bila tulisan mereka di cedok dan di siarkan kembali dalam web lain, sebagai sebaran e-mel dan ada juga yang terbit dalam media cetak. Pun begitu, majoriti adalah penulis akar umbi yang meluahkan perasaan atau baru mengasah bakat untuk jadi penulis yang baik. Mereka tercari-cari cara untuk memantapkan tulisan mereka.

GENG JURNAL
Preece (2001) menafsirkan komuniti online sebagai ruang sosial maya di mana orang berkumpul untuk mendapatkan dan memberi maklumat atau sokongan, untuk belajar atau mendapatkan kenalan. Blogsphere yang sedia ada boleh dimantapkan dengan wujudnya satu ruang untuk dituju oleh penggiat weblog. Pada Ogos 2001 Khairul Azmi Kamaludin mula membangunkan satu komuniti untuk peminat weblog yang dinamakan Geng Jurnal. Web komuniti ini boleh dicapai melalui alamatnya di http://jurnal.biz. Geng Jurnal adalah komuniti online yang dibina untuk penulis dan pembaca weblog. Menurut pengasasnya, komuniti ini ditubuhkan dengan matlamat untuk mengeratkan lagi hubungan antara penulis jurnal dan para pembaca melalui aktiviti berfaedah dan bermanfaat. Gerbang ini telah berjaya mengumpul dan menyenaraikan, setakat tarikh artikel ini ditulis (17 Ogos 2005), sebanyak 1695 ahli berdaftar untuk forumnya. Ahli-ahli Geng Jurnal tidak perlu membayar yuran untuk menyertai komuniti ini. Cukup dengan menyertai aktiviti Geng Jurnal untuk mewartakan diri sebagai Geng Jurnal.

Geng Jurnal diuruskan oleh sukarelawan di kalangan ahli disamping terdapatnya ahli jawatankuasa yang dipilih melalui undian. Kaedah pengurusan aktiviti Geng Jurnal dikenali sebagai Anarki Terpimpin oleh mereka. Dalam kaedah ini, sesiapa pun boleh memulakan dan menjalankan apa-apa aktiviti selagi ianya tidak haram mengikut syarak dan undang-undang. Ini mirip dengan apa yang dikatergorikan oleh model Penyertaan Pemimpin Vroom (Vroom’s Leader Participation Model) sebagai gaya delegasi. Dalam gaya ini pemimpin membenarkan kumpulan untuk membuat keputusan dalam had-had tertentu (Robin & Coultre, 2003). Dalam kes Geng Jurnal, ahli-ahli jawatankuasa berperanan sebagai pemantau dan pemudahcara bagi mereka yang yang ingin menjalankan aktiviti.

Kim (2000) mengariskan sembilan strategi penting dalam membangunkan sebuah komuniti online yang mampan:

1. Definisikan dan perjelaskan halatuju
2. Bina tempat perhimpunan yang luwes
3. Wujudkan sistem profail ahli yang baik
4. Reka peranan yang pelbagai untuk ahli
5. Bangunkan program kepimpinan
6. Galakkan etika yang sesuai
7. Promosikan aktiviti yang berkitaran
8. Wujudkan amalan-amalan ritual yang menjadi kebiasaan dalam komuniti
9. Bantu ahli mewujudkan kelopok kecil.

Walaupun Geng Jurnal tidak secara formal mengatakan mereka berpegang pada sembilan strategi yang digariskan, mereka telah pun melalui strategi-strategi ini secara sedar dan tidak sedar. Di forum online Geng Jurnal pula terdapat beberapa aktiviti yang mendapat sambutan ramai. Program Juring ini sendiri adalah satu usaha mempromosi aktiviti yang berkitaran. Ia mempunyai objektif yang jelas dan tempat sudah dikenali oleh ahli. Juri, peserta dan pembaca tahu akan peranan mereka dalam program ini. Etika seperti mengelakan kesalahan ejaan dan plagiat adalah disanjung.

(Rajah 1: Rajah menunjukkan beberapa kegiatan yang popular di kalangan Geng Jurnal. )

Gangguan Teksual: Projek penerbitan zine alternatif yang kandungannya adalah catatan-catatan pilihan dari dalam weblog.

Diablog: Wacana ilmiah yang membincangkan dunia penulisan weblog. Wacana ini diadakan di Rumah PENA. Seringkali, tokoh-tokoh weblog tertentu dijemput untuk mengetuai perbincangan.

Geng Mak Itam: Kumpulan ahli-ahli Geng Jurnal yang gemar berkomunikasi secara synchronous melalui Instant Messenger.

Hari Anugerah Weblog: Ini merupakan acara tahunan di mana para ahli berkumpul. Ianya bermula dari sebuah perkelahan kecil pada 2001 dan kini berupa majlis makan yang gemilang. Pada waktu inilah anugerah-anugerah weblog dalam katergori-katergori tertentu disampaikan.

Lantit: Ini merupakan panggilan untuk acara santai di mana ahli berjumpa untuk bersembang dan menikmati makan malam di restoran-restoran sekitar ibukota.

Projek Basah: Projek ini adalah projek lasak di mana ahli berkumpul di sebuah kawasan perkhemahan bina semangat di Jasin, Melaka. Aktiviti seperti berkanu, war games, berjalan malam dijalankan di sini. Program ini telah dijalankan sebanyak empat kali.

Lumba Foto: Sebulan sekali satu tema baru akan diperkenalkan di jurnal.biz. Peserta yang berminat dengan fotografi digital akan menampal foto mengikut tema tersebut. Pemenang akan dipilih dan dianugerahkan dengan puji-pujian.

Lumba Kata/Catatan: Program ini dijalankan secara online di mana para peserta berkongsi kepakaran menulis masing-masing berdasarkan tema atau tajuk yang yang diberi.

JURING

Pengenalan
Juring adalah jawapan Geng Jurnal kepada ledakan program realiti di saluran-saluran TV tempatan. Objektif Juring adalah mempertingkatkan kesedaran terhadap teknik penulisan bermutu untuk persekitaran web. Juring merujuk kepada istilah persilatan yang membawa makna tendangan sisi. 10 orang peserta mengambil bahagian dalam pertandingan ini, dan satu persatu dijuring keluar berdasarkan mata yang terkumpul setelah sesuatu tugasan penulisan yang dilaksanakan. Juring meraikan kepakaran penulisan untuk medium web. Hadiah awal yang ditawarkan adalah sehelai t-shirt. Pun begitu, semasa pertandingan berjalan beberapa individu dikalangan ahli Geng Jurnal sendiri menawarkan diri untuk menaja hadiah sampingan. Hadiah-hadiah lain yang dimenangi oleh juara adalah beg, nama domain dan buku pelbagai tajuk.

Format
Juring dimulakan dengan menjemput ahli-ahli komuniti menulis satu perenggan pendek 100 perkataan memberi rasional kenapa mereka layak untuk bertanding. Juri-juri kemudiannya membuat pangkatan kepada hasil penulisan ujibakat ini. 10 peserta lelaki yang dianggap terbaik dari kelompok mereka dipilih berdasarkan purata markah pangkatan yang diberikan oleh 3 juri. Pada setiap pusingan, peserta-peserta akan diberi tugasan penulisan (100-250 patah perkataan) untuk disiapkan.

Peserta
Terdapat 15 peserta menghantar tulisan mereka untuk sesi ujibakat. 10 lelaki dan 5 wanita. 10 dari mereka telah dipilih. Setiap dari mereka memiliki weblog masing-masing. Mereka dipilih berdasarkan jantina dan entri ujibakat. Berikut adalah peserta-peserta yang mengambil bahagian dalam Juring.

LELAKI:
01. Lapan (http://lapan.blogspot.com/) Jurureka hiasan dalaman
02. Irwandy (http://irwandy.blogdrive.com/) Staf IT
03. Engku (http://engku.blogspot.com/) Jurugambar
04. Directrixz (http://xpressikehidupan.blogspot.com/) Pelajar IT
05. Basri (http://dugongsenyum.blogdrive.com/) Pembantu Jurutera

WANITA:
01. Tipah (http://tipahvogue.blogspot.com/) Setiausaha/Pelajar Pengurusan
02. Delima (http://delima.blogdrive.com/) Pegawai Sokongan Pelanggan
03. Rosram (http://rosram.diaryland.com/) Usahawan / Guru Tuisyen
04. Vizier (http://lepatpisang.blogspot.com/) Juruanalisa Sistem
05. Liyanna (http://capriquarius.lovable-monkey.net/) Pelajar Undang-undang

Walau bagaimanapun sebelum pertandingan bermula, seorang peserta wanita telah menarik diri dengan alasan tidak dapat menumpukan perhatian. Oleh kerana cuma 5 peserta ujibakat adalah wanita dan tiada rizab peserta wanita maka Wasit tidak punya pilihan lain selain dari mengambil peserta lelaki untuk menggantikan tempat peserta yang menarik diri bagi mencukupi angka 10. Sebagai mengantikan tempat Rosram, seorang peserta lelaki telah dipilih berdasarkan markah pangkatan.

01. Yadziz (http://hangbuah.blogspot.com/) Kerani

Juri
Tugas para juri adalah memberi ulasan dan pangkatan kepada hasil tulisan para peserta. Purata pangkatan ini kemudiannya akan menentukan siapa yang bakal keluar dari pertandingan. Juri utama terdiri ahli-ahli kanan Geng Jurnal. Mereka adalah:

Tok Rimau: Tok Rimau adalah Wasit (Istilah persilatan merujuk kepada hakim) atau Ketua Juri. Tok Rimau adalah bekas presiden Geng Jurnal untuk penggal 2003. Beliau mempunyai 4 tahun pengalaman mengendalikan weblog. Beliau berkerja sebagai pensyarah bahasa di sebuah IPTA di Johor. Tugas utama Tok Rimau adalah menetapkan tugasan dan mengisytiharkan secara rasmi peserta yang dijuring.

Mat Jan: Mat Jan merupakan pemenang Anugerah Weblog Terbaik 2002 anjuran Geng Jurnal. Beliau mempunyai 5 tahun pengalaman mengendalikan Blog. Mempunyai ijazah Undang-undang dan sekarang menyambung pelajaran dalam bidang Setiausaha Berkanun di Pulau Pinang.

Pak Bear: Pak Bear adalah ahli Geng Jurnal yang aktif membuat video digital. Beliau adalah seorang pegawai IT di sebuah muzium di Melaka. Juga seorang pelajar separuh masa sebuah universiti swasta dalam bidang yang sama.

Tugasan akhir dijalankan secara bersemuka dialam nyata di Rumah Pena, Kuala Lumpur. Pada ketika itu dua peserta peringkat akhir menjadi ahli panel Program Diablog yang membincangkan isu ahli Geng Jurnal yang berpuak-puak. Tanpa mereka sedari, sumbangan mereka dalam Diablog diambil kira sebagai markah akhir. Oleh kerana juri-juri utama tidak tinggal di Kuala Lumpur, dua juri tambahan telah dilantik hanya untuk tugasan ini.

Bukunota: Bukunota adalah juri jemputan untuk cabaran terakhir yang ada kaitan dengan Projek Diablog, forum mengenai isu-isu dalam dunia weblog. Beliau adalah seorang wartawan di sebuah syarikat akhbar tempatan di Kuala Lumpur. Beliau dipilih kerana beliau adalah ketua Projek Diablog.

Cik Daun: Cik Daun adalah seorang jurutera sistem yang bertugas di sebuah syarikat ICT swasta di Cyberjaya. Beliau adalah pengerusi majlis Projek Diablog di mana tugasan akhir untuk Juring dinilai.

Pembaca/ Audien
Pembaca untuk entri dalam Juring boleh datang dari ahli Geng Jurnal atau mereka yang bukan ahli. Beberapa weblog Geng Jurnal telah meletakkan link promosi ke forum Juring bagi menggalakan kehadiran pembaca. Pembaca boleh meninggalkan reaksi dengan cara memberi komen bertulis dan mengundi peserta kegemaran mereka. Namun begitu, undian pungutan suara tidak memberi sebarang kesan langsung kepada keputusan Juring. Pungutan undi lebih kepada popularity contest dan tidak mempunyai kesan secara langsung kepada penjurian. Terdapat juga pembaca turut menjalankan tugasan dan mengeposnya di forum. Perbuatan ini adalah digalakkan, dan mereka yang berbuat demikian dilabelkan sebagai Anak Keladi sempena label yang diberi pada anak-anak kecil yang turut bermain dengan abang yang sudah dewasa tetapi prestasinya tidak diambil kira dalam menentukan keputusan permainan.

Medium
Tugasan 1-8 dalam Juring dilaksanakan dalam sebuah forum web Geng Jurnal (http://www.jurnal.biz/forum/.) Forum ini menggunakan perisian Open Source PHPBB. Entri-entri dalam forum ini disusun secara linear mengikut susunan masa. Catatan yang telah dipos boleh disunting lagi oleh pentadbir forum dan penulis sendiri. Medium ini dipilih kerana kebanyakan ahli Geng Jurnal sudah biasa dengan sistem dan antaramuka forum web ini. Forum ini boleh dibaca oleh sesiapa sahaja yang mempunyai akses ke Internet. Namun begitu, untuk menulis entri dalam forum ini, sesorang itu hendaklah mendaftarkan diri sebagai ahli forum. Pendaftaran adalah percuma.

Tugasan
Juring memberi fokus kepada tugasan-tugasan yang berkaitan dengan dunia weblog. Secara amnya, peserta ditugaskan menyiapkan beberapa genre penulisan yang popular di weblog dalam masa 1 hingga 2 minggu. Dalam banyak keadaan, peserta juga diminta menyertakan imej sampingan sebagai gambar hiasan untuk entri mereka.

Tugasan akhir adalah agak berlainan berbanding tugasan-tugasan sebelumnya. Dua peserta akhir tidak tahu bilakah mereka akan dinilai. Tanpa mereka sedari, mereka telah dinilai ketika mereka terlibat sebagai ahli panel Projek Diablog.

(Jadual 1: Jadual menunjukkan sinopsis tugasan serta had perkataan yang ditetapkan dan jangkamasa yang diperuntukkan untuk menyempurnakannya.)

Cabaran
Cabaran utama bagi menjalan program web realiti seperti Juring adalah masa untuk para peserta dan para juri menjalankan tugasan dan akses kepada Internet. Menulis weblog hanyalah satu hobi, peserta dan para juri perlu mengutamakan kerjaya utama mereka. Rosram menarik diri setelah dia dipilih selepas ujibakat dengan sebab perlu menumpukan kepada kerjaya. Tipah pula terkeluar dari pertandingan dalam tugasan 1 kerana gagal menghantar pos sebelum tarikh akhir. Directrixz pula gagal mendapatkan akses Internet untuk menyempurnakan tugasan 5 kerana pada waktu itu beliau pulang ke kampung di Trengganu. Liyanna pula menarik diri di pusingan 8 kerana beliau melanjutkan peolajaran dalam bidang undang-undang di sebuah universiti tempatan. Oleh kerana hanya tinggal dua peserta pada cabaran 8, sedangkan ada satu cabaran lagi di cabaran 9, markah untuk cabaran 8 dan 9 dijumlahkan bagi mendapat juara.

Keputusan

(Jadual 2: Jadual menunjukkan prestasi peserta dalam bentuk pangkatan dan min kedudukan mereka sepanjang penyertaan.)

Di akhiri pertandingan, Basri diumumkan sebagai juara juring. Beliau menunjukkan hasil tulisan yang konsisten dan berada pada purata pangkat kedua sepanjang pertandingan. Secara amnya, para peserta berusaha untuk mematuhi nahu, ejaan dan peraturan tanda baca. Juri banyak memberi tumpuan kepada kandungan dan gaya bahasa berbanding dengan kemahiran tatabahasa.

Dari segi pembacaan juga menggalakkan. Cabaran yang paling kerap dilihat adalah cabaran 3, Ulasan Berita. Komunikasi dan pos dalam cabaran ini dilihat sebanyak 2651. Cabaran paling kurang dilihat adalah cabaran 9. Ianya dilihat sebanyak 898 kali sahaja. Jumlah pos paling banyak pula jatuh kepada ruang cabaran 7, Sentuhan Hati, dengan 98 pos. Manakala, jumlah pos paling kurang jatuh pada ruang cabaran Ulasan Siri TV dengan 40 pos sahaja. Angka-angka ini melebihi angka purata untuk pos dan bacaan untuk topik-topik dipos dalam forum Geng Jurnal.

(Jadual 3: Jadual menunjukkan jumlah mesej dan kekerapan dilihat sesuatu topik dalam forum Geng Jurnal.)

KesimpulanSama ada Juring berjaya mencapai objektifnya untuk mempertingkatkan kesedaran terhadap teknik penulisan bermutu untuk persekitaran web amatlah susah untuk diukur keberkesanannya. Bagi peserta yang mengambil bahagian, terdapat bukti-bukti usaha telah dilakukan bagi menonjolkan hasil tulisan yang bermutu. Ini ketara jika tulisan mereka dalam Juring dibanding dengan tulisan mereka dalam weblog masing-masing. Pun begitu, tiada bukti yang menunjukkan peningkatan mutu penulisan secara langsung disebabkan oleh Juring pada weblog mereka. Sambutan dari ahli Geng Jurnal dan peserta sendiri menunjukkan reaksi positif dari sudut jumlah mesej dan kekerapan lawatan. Komen-komen pembaca juga menunjukkan kesedaran bahawa terdapatnya teknik yang berkesan dalam menulis entri untuk persekitaran web.

(Rajah 2: Anjakan dari Broadcast Learning ke Interactive Learning)

Tapscott (1998) meramalkan anjakan dari Broadcast Learning kepada Interactive Learning untuk generasi yang terdedah pada Internet. Juring, sedikit sebanyak mendakap prinsip-prinsip Interactive Learning ini. Adalah diharap, agar ahli Geng Jurnal dapat mengutip isi komentar para juri dan saingan sengit dalam Juring sebagai ilmu untuk diamalkan dalam weblog mereka masing-masing seperti mana usahawan dapat belajar dari Apprentice, penyanyi dapat belajar dari Malaysian Idol dan pemburu cinta dapat belajar dari Mencari Cinta. Semoga apabila Geng Jurnal menyumbang kepada dunia melalui tulisan mereka, tulisan mereka mereka itu menarik perhatian, mudah difahami dan memberi kesan mendalam kepada pembaca.

RUJUKAN

Guardian, The .2001, ‘The Seven wonders of the Web.’ December 27. Online: http://www.guardian.co.uk/Print/0,3858,4326023,00.html [ 20/01/ 2002]
Kim, A. J. 2000. Community Building on the Web. Berkeley: Peachpit Press.
Preece, J. 2001. Sociability and usability in online communities: Determining and measuring success. Behaviour & Information Technology. vol. 20, No. 5, 347-356.
Pyra Labs. 2000. About. Blogger. Online: http://www.blogger.com/about.pyra [19/2/2002]
Robin, S. & Coultre, M. 2003. Management. 7th Edition. New Jersey: Prentice Hall.
Tapscott, D. 1998. Growing up digital. New York. McGraww-Hill.
Wan Sabariah Shikh Ali. 2002. Jurnal online papar kreativiti muda-mudi melayu, Ruang Siber.’ Jelita. Februari. p. 128.
Werbach, K. 2001. Triumph of the Weblogs: The conversation continues. Online: http://www.edventure.com/conversation/articleprint.cfm?Caounter=7444662 [2/8/2002]Zoraini Abas (2001) ‘Web Sites Oozing With Creativity.’ Computimes. New Straits Times 11 Oktober. p. 27.

Nota:
Rajah & jadual hanya disertakan dalam kertas kerja asal.

Senarai Kertas Kerja

SEMINAR KEB. E-KOMUNITI

Tarikh:
6-7 Disember 2005
Tempat: Palm Garden, IOI Resort Putrajaya.
Tema: Ke Arah Pembangunan E-Malaysia: Merapatkan Jurang Komuniti dengan Teknologi Maklumat

Sub Tema:
Polisi, infrastruktur dan infostruktud ICT.
Konsep, pembangunan dan perkembangan E-Komuniti.
Teori dan amalan ICT.
Isu, cabaran dan impak ICT terhadap masyarakat.
Penggunaan bahasa dan budaya dalam ICT.
Pembangunan bahan dan perlaksanaan sistem pengurusan pembelajaran (LMS).
Undang-undang dan keselamatan siber.
Jenaya Siber.
Konsep, perlaksanaan dan impak E-Dagang, E-Governan dan E-Pembelajaran.
Pembangunan sumber manusia dan latihan ICT. Format Kertas Kerja

KERTAS KERJA YANG DITUNGGU-TUNGGU
Web Realiti: Mempromosi Pembelajaran dalam Komuniti Online Geng Jurnal - Ghazali Bunari

Kertas kerja lain.